KENYATAAN MEDIA

Industri fesyen jangan abai sensitiviti wanita muslim

Sejarah membuktikan wanita adalah antara entiti utama yang menggerakkan evolusi dakwah di Malaysia.

Keberanian dan kepayahan dalam mengubah norma masyarakat, dalam aspek pemakaian tudung oleh penganut Islam telah dipelopori oleh HELWA ABIM pada era 70-an. Perjuangan ini tidak wajar dilupakan dan sejarah perjuangan ini perlu dihargai oleh wanita di Malaysia khususnya kerana pemakaian tudung yang dimulakan adalah dengan penuh kesedaran memaknai hikmah al-Quran dan kepatuhan kepada perintah Tuhan.

Namun, isu yang berbangkit hari ini merupakan insiden gelap yang terlihat jelas kontra di mana pudarnya maruah, identiti serta jati diri mengikut arus zaman dan lebih malang lagi menurut kehendak kapitalis yang tidak mengenal erti nilai dan budaya. HELWA memandang serius berkenaan fenomena kehilangan adab yang berlaku secara berleluasa hari ini.

Dalam keghairahan masyarakat terlibat secara aktif dalam dakwah, perniagaan, dan karier muslimah — perlu wujud garisan jelas yang difahami dan dipandu oleh ketetapan syariah. Dua premis utama yang harus dimaknai dengan jelas dalam falsafah hijab; pertamanya adalah ‘an yu’rafna’ supaya wanita muslimah itu dikenali dan yang keduanya ‘an yu’zayna’ supaya wanita muslimah tidak diganggu.

Menghayati ibrah dari ayat 59, surah al-Ahzab ini, HELWA menyarankan kepada Muslimah di Malaysia yang mengenakan hijab harus memilih untuk memenuhi tuntutan syarak dan menghayati falsafah berhijab ini dengan penuh kesedaran. Kesedaran ini diangkat sebagai agenda dakwah yang mengambil pendekatan ‘awsatuha’ (bersederhana) serta tidak ekstrem.

Adalah tanggungjawab kita bersama untuk memastikan perkembangan dakwah di Malaysia tidak terbantut, dalam masa yang sama wanita Muslim di Malaysia harus terus meningkatkan ilmu spiritual selain ilmu fardhu ‘ain dan kifayah yang telah kita sama hadami. HELWA menyedari penglibatan wanita di Malaysia dalam perniagaan melibatkan rekaan fesyen amat memberangsangkan. Pasti sahaja segala ruang pemasaran akan dimanfaatkan.

Menurut Leina Lewis, profesor dari London College of Fashion dalam bukunya dilancarkan pada 2015, ‘Muslim Fashion: Contemporary Style Cultures’, menyatakan bahawa pereka fesyen arus perdana telah melihat kesediaan pereka fesyen Muslim beraliran sederhana yang sudi mengikut cara mereka memerangi stigma menunjukkan bahawa generasi kini sudah berani keluar dari normalisasi dan budaya yang dianggap tradisional.

Kaji selidik yang dijalankan J. Walter Thompson pula menunjukkan wanita muda beragama Islam di Asia Tenggara telah menjadi tumpuan para pemasar sebagai kumpulan berpengaruh dalam gaya, fesyen, dan pelancongan. Tambahan pula, mereka mempunyai kemampuan yang baik terhadap teknologi dan keusahawanan sambil tetap patuh pada aspek keagamaan yang mereka yakini. Justeru, dalam menghadapi ledakan modenisasi dalam industri fesyen ini, HELWA menggesa agar masyarakat kembali kepada asas kuasa pengguna dalam memilih produk.

Sekiranya mereka terus sombong dan tidak menghiraukan pandangan serta sensitiviti masyarakat Muslim di Malaysia, maka inisiatif boikot adalah jalan terbaik jikalau pihak terlibat tidak mengambil tanggungjawab sosial ini. Ini akan memberi mesej jelas kepada semua bahawa kepentingan untuk menjaga maruah dan akal budi wanita Muslim harus menjadi keutamaan. Pesan kami kepada figura masyarakat dan pemimpin, peliharalah diri dan keluarga serta jangan melampaui batasan. . .

Nor Azura Kamarudin Sohami
Naib Presiden (Helwa) ABIM


Pengarang :