BERITA UTAMASELANGOR

Invest Selangor sasar pelaburan RM12 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Agensi Penggalak Pelaburan Negeri, Invest Selangor Berhad menyasar pelaburan keseluruhan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM7 bilion dijangka datang daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik, manakala RM5 bilion pula daripada sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata daripada sasaran itu, sejumlah RM1.8 bilion sudah diperolehi daripada misi perdagangan Invest Selangor ke Jepun pada Januari, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mempunyai permulaan yang baik daripada misi lawatan pelaburan ke Jepun membabitkan syarikat dari sektor logistik, pembungkusan, jentera dan aeroangkasa.

“Kami berharap tahun ini, kita dapat meningkatkan perolehan pelaburan lebih tinggi berbanding tahun lalu. Ia bergantung kepada pelbagai strategi yang akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2018, di MiTEC, semalam.

Bagaimanapun, katanya, sasaran perolehan itu akan dikaji semula pada separuh masa kedua tahun ini.

Tahun lalu, Selangor menarik RM5.59 bilion pelaburan langsung dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan bernilai RM4 bilion, terutamanya dari peruncit perabot terbesar di dunia, IKEA, dengan penubuhan sebuah pusat rantaian bekalan di Pulau Indah, bernilai RM908 juta.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekaligus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629, diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755.

Sektor perkhidmatan dan perkilangan menyumbangkan 59.5 peratus dan 29.5 peratus kepada keluaran kasar negara Selangor pada 2017.

=EZY=

 


Pengarang :