SELANGOR

Isu persempadanan semula: DNS kemuka bantahan kepada Dewan Rakyat, SPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) telah mengemukakan surat bantahan dan menolak mengenai syor persempadanan semula kawasan pilihan raya kepada Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), hari ini.

Speaker DNS, Hannah Yeoh, berkata surat terbabit diutuskan sejurus selepas usul itu diluluskan dewan berkenaan.

“Usul ini dibahas dan diluluskan DNS.

“Sejurus ia diluluskan, saya telah menghantar surat terus melalui faks kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan SPR bagi memaklumkan keptutusan DNS ini,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi memaklumkan keputusan diambil DNS berhubung perkara itu.

“Saya tidak pasti apa berlaku di Parlimen tetapi kita telah menghantar usul (keputusan) ini,” katanya.

Cadangan SPR berkaitan perkara itu dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Usul dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv dalam sidang DNS diterima dan diluluskan mengikut Peraturan Tetap 17.

Dengan keputusan itu, Hannah berkata, DNS mengecam tindakan SPR yang tidak bertindak adil dalam kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“DNS menggesa SPR untuk menarik balik cadangan persempadanan semula dan mengemukakan satu cadangan baharu yang adil, mencadangkan kawasan pilihan raya yang seimbang dari segi bilangan pengundi, selaras dengan prinsip satu orang satu undi,” kata ADN Subang Jaya itu.

=EZY=


Pengarang :