SELANGOR

IWB proaktif perluas mesej kesaksamaan gender

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Mesej pemberdayaan wanita perlu disebar secara meluas demi memastikan wanita tidak dipinggirkan dalam setiap sektor pembangunan, kata Pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, perkara itu wajar dilakukan kerana wanita diseluruh dunia kini menghadapi masalah kesetaraan gender tidak seimbang seperti laporan Jurang Gender Global dimana dunia memerlukan 217 tahun lagi untuk mencapai kesetaran gender.

“Dari sudut pencapaian pendidikan, nisbah pelajar lelaki dan wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) secara purata menunjukkan dominasi pelajar wanita seramai 60 peratus.

“Malah ada setengah IPT hampir 75 peratus pelajar dari golongan wanita berbanding lelaki.

“Namun, jumlah ini jelas tidak diterjemah dengan penglibatan wanita dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 anjuran IWB di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Zuraida berkata, adalah satu kerugian sekiranya para graduan dan golongan profesional dari golongan wanita terpaksa memilih kerjaya dan keluarga sedangkan mereka mampu memperoleh keseimbangan diantara keduanya.

“Apa yang penting adalah masyarakat terutamanya golongan lelaki sedar bahawa wanita juga perlu diberi ruang untuk berkembang maju selari dengan zaman.

“Kerajaan Negeri melalui IWB akan terus merangka program memastikan suara wanita di dengari disamping terus mempromosikan pemberdayaan wanita selaras dengan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan yang telah dilancarkan tahun lalu supaya kesaksamaan gender dapat dicapai,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi 2018 IWB merangka beberapa program termasuk Program Kesedaran Gender, Seminar Work Life Balance (WLB), Koperasi Wanita Selangor (PWB Shoppe) dan Komik Hormat Wanita.

Sementara itu, pelakon dan pengarah popular, Ahmad Idham yang juga hadir dalam Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 semalam, turut menyatakan sokongan beliau terhadap perlunya kesaksamaan gender.

Katanya, isu itu sememangnya diperjuangkan dari dulu dan drama-drama arahan beliau juga tidak mendiskriminasikan gender.

“Dalam drama juga kita boleh didik masyarakat melalui mengubah babak yang sering dilakonkan dimana lelaki duduk sambil baca surat khabar sedangkan kita boleh ubah babak suami isteri berborak sambil basuh pinggan bersama atau masak bersama.

“Saya terpanggil menyertai kempen ini bagi memperjuangkan ibu-ibu yang mempunyai anak istimewa. Kerana saya melihat sendiri keupayahan isteri selama 16 tahun menguruskan anak istimewa dalam masa sama menguruskan keluarga.

“Dengan wujudnya sekolah khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU), Eden Firdaus, yang saya bangunkan serta mendapat sokongan penuh Kerajaan Selangor, wanita yang mempunyai anak istimewa akan dapat mempunyai masa terluang untuk diri sendiri dalam membina kerjaya, melibatkan diri dalam ekonomi mahupun pendidikan,” katanya.


Pengarang :