SELANGOR

Jabatan Perikanan puji inisiatif MDKL pulihara ekosistem

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 11 MAC : Jabatan Perikanan Selangor memuji inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melepaskan benih ikan siakap di sungai Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini, semalam.

Benih ikan siakap bersaiz kira-kira empat inci itu dilepaskan bertujuan meningkatkan populasi ikan semulajadi untuk manfaat ekosistem serta menambahkan hasil tangkapan para nelayan.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Selangor mengenal pasti beberapa ancaman populasi ikan semakin berkurang berpunca dari keadaan cuaca, pencemaran dan penggunaan alat yang tidak dilesenkan atau dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Pegawai Jabatan Perikanan Selangor, Cawangan Pengurusan Sumber dan Pelesenan, Mohd Rozhan Zakaria berkata, antara peralatan dilarang digunakan adalah bubu naga, pukat sorong dan belat.

“Peralatan seperti belat berupaya memerangkap anak ikan gred A (siakap, ikan merah, jemuduk) dan udang ketika air surut kerana saiz jaring terlalu kecil menjadikan hasil tangkapan nelayan terutama di kawasan persisiran berkurangan.

“Jabatan Perikanan Selangor khususnya Pejabat Perikanan Daerah Kuala Langat sentiasa membuat pemantauan dan operasi rampasan peralatan yang tidak sah itu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rozhan berkata, pelepasan benih di kawasan paya bakau amat sesuai kerana ia merupakan habitat semulajadi ikan seperti siakap dan udang laut membesar.

“Jika ada agensi berhasrat melaksanakan aktiviti seperti pelepasan benih ke perairan umum ini boleh berurusan terus ke Pejabat Perikanan Daerah atau menghubungi Pejabat Perikanan Selangor di Shah Alam,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau, di sini, semalam.

1,000 benih ikan siakap dilepaskan bertujuan memelihara habitat semulajadi ikan berkenaan daripada diancam kepupusan.

Program itu adalah anjuran MDKL bersama Jabatan Perikanan Selangor dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Pengarang :