SELANGOR

JAIS: Kes khalwat turun, namun masih membimbangkan

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerima 1,017 aduan berkenaan kes khalwat dan 1,111 kes tangkapan direkodkan sepanjang 2017.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim berkata, katanya angka itu menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,106 kes aduan khalwat dan 1,408 tangkapan direkodkan.

Haris berkata, walaupun statistik menurun, namun ia masih ditahap membimbangkan dan semua pihak perlu bekerjasama memastikan gejala itu dibendung dan dikurangkan.

“Hampir setiap hari kita menerima lebih daripada tiga aduan mengenai kes ini.

“Perkara ini harus dipandang serius kerana gejala khalwat adalah punca kes remaja hamil luar nikah dan kemudian melahir anak tidak sah taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 di Bangunan Sultan Idris Shah, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebanyak 532,158 kelahiran anak luar nikah didaftarkan sepanjang 2005 hingga 2015.

“Di Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri melaporkan 1,603 remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil tanpa nikah sepanjang tempoh 2012 ke 2015.

“JAIS memandang berat masalah ini dan berusaha memastikan maqasid syariah sentiasa ditetapkan dalam segenap aspek kehidupan. Selain itu, menjaga nasab adalah penting mengelak berlaku kecelaruan dalam salasilah keturunan masyarakat Islam.

“Pelaksanaan Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor 2018-2023 adalah antara inisitif khusus menangani gejala itu,” katanya.


Pengarang :