Selangorkini
SELANGOR

JAIS sedia garis panduan keselamatan sekolah agama

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 MAC: Satu garis panduan pendaftaran dan keselamatan sekolah agama Islam di Selangor bakal dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelaksanaannya dirangka bagi memastikan setiap sekolah memenuhi aspek keselamatan.

Katanya, ia juga dilaksanakan setelah mengambil kira beberapa kejadian kebakaran yang sering berlaku di sekolah-sekolah agama.

“Kita wujudkan Jawatankuasa Pemandu bersama agensi-agensi terlibat untuk membina satu garis panduan lebih baik.

“Bagaimanapun, garis panduan telah dilaksanakan sebelum ini, namun ditambah baik dan diperkemaskan tatacara untuk pelaksanaan di sekolah-sekolah agama pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Pendaftaran dan Keselamatan Sekolah-sekolah Agama Islam Selangor di sini, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, ia bukanlah suatu perkara yang mudah sebaliknya menuntut kerjasama daripada semua pihak.

“Bengkel ini dijalankan untuk mendapatkan resolusi dalam menyempurnakan garis panduan yang dibuat,” katanya.


Pengarang :