BERITA UTAMASELANGOR

Jangan gentar hadapi Revolusi 4.0 Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 MAC: Masyarakat khususnya golongan muda perlu bersedia menghadapi Revolusi 4.0 untuk lebih berdaya saing memajukan ekonomi negara ini, kata Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Profesor Dato’ Dr Sheikh Omar Abdul Rahman.

Beliau berkata, kemajuan teknologi masa kini menuntut golongan muda untuk lebih peka berdepan cabaran dan peluang penerokaan teknologi baru dalam dunia pekerjaan akan datang. ‘

Katanya, golongan itu juga perlu menjadi individu terbuka, profesional, berdaya saing, konsisten dan mempunyai nilai pemikiran positif.

“Namun, keutamaan yang tidak boleh diketepikan adalah ‘nilai kemanusiaan’ dengan menanamkan semangat untuk bergerak lebih maju.

“Justeru, anggota masyarakat termasuk golongan muda perlu memainkan peranan dan bersedia mengharungi cabaran itu.

“Jika anda memilih untuk kekal pada kedudukan sedia ada, anda akan ketinggalan jauh ketika penggunaan Internet Of Things akan mendahului kehidupan anda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas hadir berucap sebagai panel Program Seminar HR anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di UMW Toyota Training Centre, Seksyen 15, pagi ini.

Terdahulu, di peringkat Kerajaan Selangor, pelan transformasi menuju ke arah negeri ‘regional smart state’ meliputi aspek perkhidmatan, pembuatan dan pelaburan asing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penumpuan terhadap sektor berkenaan dijadikan penanda aras untuk terus memacu kepada perkembangan revolusi berkenaan.

“Gagasan ‘regional smart state’ menuntut kita secara kolektif untuk berani merubah pemikiran, pendekatan dan budaya kerja mencapai matlamat itu.

“Maka, kita perlu melakukan anjakan paradigma supaya Selangor dapat melakukan ‘quantum leap’ menuju ekonomi berasaskan ilmu dan maklumat,” katanya.


Pengarang :