NASIONAL

Jangan gertak wartawan media luar negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 MAC: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil menggesa supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak tidak menggertak wartawan media antarabangsa.

Fahmi berkata, media adalah ‘tiang seri’ demokrasi, tidak kira dalam atau luar negara mereka perlu bebas menjalankan tugas semak imbang pentadbiran negara bagi memastikan rasuah, kleptokrasi dan salahguna kuasa tidak bermaharajalela.

“Saya menggesa Datuk Seri Salleh bukan sahaja menjelaskan Fasal 3 akta ini kepada wartawan berkenaan malah juga orang ramai serta berjanji tidak akan menggertak pengamal media antarabangsa terutama yang membuat laporan mengenai skandal 1Malaysia Development (1MDB).

“Ini kerana kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, pada 21 Mac lalu, memberi gambaran bahawa pihak kerajaan mempunyai monopoli ke atas takrif ‘berita palsu’ itu sendiri. Ini adalah satu pandangan yang tidak baik untuk demokrasi negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, jam 3.30 petang hari ini, Datuk Seri Salleh akan mengadakan pertemuan dengan beberapa wartawan media antarabangsa.

Manakala, di Parlimen dikemukakan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama. Mengikut draf yang diletakkan di atas meja Ahli Parlimen pagi tadi, terdapat satu fasal mengenai aplikasi akta tersebut terhadap bahan-bahan diterbitkan di luar negara Malaysia, seperti berikut:

Jika mana-mana kesalahan di bawah Akta ini dilakukan oleh mana-mana orang, walau apapun kerakyatan atau kewarganegaraannya, di mana-mana tempat luar Malaysia, dia boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan itu seolah-olah kesalahan itu telah dilakukan di mana-mana tempat di dalam Malaysia.

Bagi maksud subseksyen (1), Akta ini hendaklah terpakai jika, bagi kesalahan yang berkenaan, berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh oleh pelakuan kesalahan itu ialah warganegara Malaysia.

Bukan sahaja Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 secara am bersifat drakonian, dengan hukuman denda maksima RM500,000 atau penjara maksima 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, lingkungan pemakaian akta itu membawa maksud mana-mana pengguna media sosial malah juga media arus perdana di luar negara mungkin boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang Malaysia.

 


Pengarang :