SELANGOR

JEiWA syor Selangor tubuh Penguatkuasaan Perintah Mahkamah

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri dicadangkan menubuhkan Badan Autoriti Penguatkuasa Perintah Mahkamah bagi membantu dan memudahkan golongan isteri berdepan isu kegagalan pelaksanaan perintah mahkamah.

Pengerusi Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEiWA), Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, hal itu kerana Selangor merupakan negeri yang mengamalkan dasar wanita yang terbaik di Malaysia.

Katanya, ia bagi mengelakkan wanita terkesan dari segi emosi, sosial, ekonomi dan hubungan masyarakat.

“Akibat dari masalah kegagalan pelaksanaan perintah mahkamah, proses ke arah transformasi selepas penceraian terganggu.

“Ini akan menyebabkan wanita terpaksa memfailkan kes semula ke mahkamah dan menanggung kos guaman yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian di program ‘Tea Talk’ yang diadakan di Kediaman Dato’ Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

‘Tea Talk’ itu menampilkan barisan panel antaranya Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha, Peguam Syarie Roshdan Sujak Rafie dan Fahda Nur Ahmad Kamar.

Pada masa sama, Fahda berkata, pemerkasaan Mahkamah Syariah penting supaya berupaya membantu menyelamatkan mangsa.

Katanya, tidak mustahil Selangor tidak dapat melaksanakannya seperti Enakmen Kebebasan Maklumat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Sementara itu, Haniza percaya perkara itu boleh dicadangkan di Dewan Undangan Negeri untuk direalisasikan.

Katanya, hal itu kerana Kerajaan Negeri sangat mementingkan golongan wanita menerusi pelbagai dasar dan insentif yang diberikan kepada golongan itu.

Selain itu, Shamshida mengalukan ‘Tea Talk’ sempena Tahun Memperkasakan Wanita 2018 itu diadakan pada masa lain kerana memberikan perkongsian yang baik kepada golongan wanita dari pelbagai peringkat.

“Golongan wanita perlu dilengkapkan dengan ilmu kerana ilmu pengetahuan boleh mereformasikan hidup ke arah yang lebih baik serta memperjuangkan hak dalam kehidupan berumah tangga,” katanya.


Pengarang :