PENDIDIKANSUKANKINI

Jom rasai pengalaman berkuda dan memanah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 MAC: Romona International Sdn Bhd dengan kolaborasi bersama Lovehorses akan menganjurkan program Pengenalan Berkuda dan Memanah khususnya untuk kanak-kanak dan remaja, sempena cuti sekolah ini.

Presidennya, Dato’ Seri Dr Romona Murad berkata, bertempat di Taman Ekuestrian Putrajaya dengan yuran penyertaan hanya RM100, bermula pada 20 dan 21 Mac ini.

Ia meliputi kanak-kanak dan dewasa selain ibu bapa juga digalakkan bersama anak menyertai program berkenaan.

Katanya, program itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari asas dan teknik berkuda serta memanah.

“Ibu bapa harus menggunakan kesempatan ini supaya anak mereka dapat diberi pendedahan awal dengan aktiviti terbabit.

“Di samping itu, kita menggalakkan anak kelainan upaya untuk turut membabitkan diri dengan acara berkuda kerana ia adalah terapi buat golongan ini.

“Selepas tempoh dua hingga tiga tahun menjalani aktiviti riadah seperti ini, mereka diberi jaminan untuk kembali pulih jika menjadikan ia sebagai rutin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas majlis Perasmian Pameran Reka Bentuk Kulit Album 12×12 oleh TAP, di Galeri Shah Alam, di sini, semalam.

Dr Romona berkata, matlamat penganjuran program terbabit juga bagi memupuk minat kanak-kanak, sekali gus memastikan sukan berkuda mendapat tempat di hati orang ramai.

“Pada masa sama, kita boleh melahirkan ramai anak muda yang mempunyai prospek besar dalam sukan berkuda dan memanah.

“Program latihan persendirian juga dilaksanakan bagi mereka yang berminat untuk menggunakan khidmat pelatih persendirian dengan sesi pembelajaran dibuat mengikut permintaan masa individu itu dengan harga berpatutan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut berkenaan program itu boleh menghubungi Dr Romona di talian 012-9309317 atau e-mel ke [email protected]


Pengarang :