PENDIDIKANSELANGOR

Jom semarak dan meriahkan IKTISASS 2018, banyak program menarik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 24 MAC: Orang ramai dijemput hadir ke Pameran Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS 2018) bagi merebut peluang pekerjaan meliputi aspek latihan kemahiran dan industri di Selangor.

Bertempat di Sunway Convention Centre, karnival itu menampilkan penyertaan pelbagi agensi Kerajaan Negeri selain penglibatan institusi dan badan berkaitan dasar Kerajaan Selangor.

Difahamkan, kira-kira 30 agensi dan institusi khususnya dalam bidang keusahawanan, latihan kemahiran, teknologi maklumat, teknologi elektronik dan lainnya turut mengambil bahagian dalam penganjuran karnival julung kalinya itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad dijadualkan hadir bagi merasmikan karnival itu.

Lebih menarik, selebriti tempatan antaranya Haqiem Rusly, Amy Search dan Wany Hasrita bakal memeriahkan penganjuran karnival itu, sehingga Ahad ini.

Sementara itu, orang awam khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma dan pelbagai peringkat pengajian lain turut berpeluang ditemuduga secara langsung bagi merebut sebarang kekosongan jawatan berkaitan.

Terdahulu, IKTISASS merupakan program penjenamaan baru inisiatif Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor.

Inisiatifnya tertumpu ke arah usaha pembangunan teknikal dan kemahiran bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri membangunkan negeri pintar di bawah dasar Smart Factory 4.0.

 

 


Pengarang :