BERITA UTAMASELANGOR

Kadar TOL pengusaha ikan sangkar Selangor terendah di Malaysia

OLEH: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Negeri menolak dakwaan mengenakan kadar caj Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang tinggi kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) di negeri itu.

Exco Kemudahan, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengenakan caj yang terendah di negara ini.

Katanya, jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang dipersetujui oleh Kerajaan Selangor hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi.

“Kita sudah laksanakan beberapa pertemuan sebelum ini dan jumlah sebenar kadar bayaran TOL yang dipersetujui oleh Kerajaan Selangor hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun sekaligus merupakan termurah di Malaysia.

“Kadar caj ini sudah dipersetujui dan disahkan oleh Mesyuarat Mesyuarat Kerajaan Selangor KE 15/2016 pada 27 April 2016,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata kadar bayaran itu juga termurah berbanding dengan kadar nilaian diberikan oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4.00 semeter persegi setahun.

“Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi,” katanya.

Terdahulu, Zaidy berharap supaya penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham.

Sebelum ini, penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam mendakwa Kerajaan Negeri tidak endah dalam rundingan mengenai kadar caj TOL.

Mereka mendakwa caj 40 sen itu membebankan dan mahu Kerajaan Negeri menurunkan caj kepada 20 sen bagi semeter persegi.

=EZY=


Pengarang :