PBTSELANGOR

KDEBWM komited laksana pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) komited memastikan kejayaan pelaksanaan model terbaru perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berdasarkan mandat diberikan Kerajaan Negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, hal itu kerana ia dapat dibuktikan menerusi trend penurunan aduan setiap bulan sepanjang tahun lalu.

Katanya, sebanyak 335 aduan dilaporkan di Majlis Perbandaran Klang (MPK) merangkumi kutipan domestik dan pembersihan awam, manakala Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebanyak 430 aduan dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebanyak 2,520 aduan sepanjang 2017.

“Trend ini menunjukkan terdapat peningkatan keyakinan rakyat terhadap pengurusan sisa pepejal oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit.

“Daripada jumlah kutipan sisa pepejal, lebih banyak sisa pepejal domestik diikuti anggaran 650 hingga 700 tan sehari melalui penggunaan aset terkini dan mencukupi.

“Secara purata, jumlah tan sisa pepejal dikutip tiga PBT sebanyak 15,384 tan sebulan bagi 2017,” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS) bagi menjawab pertanyaan Ng Suee Lim-Sekinchan).

Hian Wah berkata, dengan lori kompaktor dan lori RORO yang baru serta dilengkapi teknologi baru dan sistem kerja teratur, jumlah sampah dikutipan meningkat.

Katanya, antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat adalah melalui penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi.

Ia dengan memperkenalkan KDEBWM sebagai Projek Management Company (PMC) yang bertanggungjawab sebagai pengurus bagi pelaksanaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Selepas kejayaan pelaksanaan perkhidmatan ini dapat dilihat di MPK, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan perluasan di MPAJ dan MPS menggunakan modus operandi sama.

“Ia selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri membangunkan negeri sebagai Smart City dan Smart State,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :