BERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM lebar operasi ke 6 PBT

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal melebarkan operasinya dengan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Tahir berkata, pihaknya kini sudah mendapat arahan dari Kerajaan Negeri dan bersedia memikul tanggungjawab diamanahkan ke arah mereformasikan industri kutipan sampah di Selangor.

Katanya, enam PBT itu membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

“Dalam mesyuarat baru-baru ini, Kerajaan Negeri sudah memutuskan KDEBWM untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di semua PBT negeri ini.

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan tahun ini enam PBT akan diambil alih KDEBWM. Kita baru selesai mengambil alih di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan mengadakan perbincangan dengan MPKj,” katanya kepada SelangorKini.

Ramli berkata, pihaknya mengambil masa tiga hingga empat bulan sebelum mengambil alih pengurusan membabitkan termasuk pembelian peralatan di setiap PBT.

Setakat ini, KDEBWM sudah mengambil alih Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbadaran Selayang (MPS) dan MDKL.

Dalam perkembangan lain, Ramli memaklumkan KDEBWM akan menyediakan dua buah ‘Road Sweeper’ bersaiz sederhana dan mudah alih di setiap PBT bagi melancarkan kerja pembersihan di kawasan pusat bandar.

Katanya, setakat ini KDEBWM menyediakan peralatan itu di MPAJ.

“Tujuannya, kita mahu kawasan-kawasan padat atau lorong kecil dapat dibersihkan dengan baik dan cekap.

“Kebiasaanya, ‘road sweeper’ ini dibeli bersaiz besar tapi di jalan protokol seperti pusat bandar tidak dapat digunakan sebab bersaiz besar.

“Oleh itu, KDEBWM menyediakan ini untuk lebih memudahkan kerja pembersihan,” katanya.

KDEBWM dilantik sebagai Project Management Company (PMC) untuk mengorak langkah penambahbaikan pengurusan sisa pepejal.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipilih sebagai pilot project dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Terdahulu, pada 2008, KDEB mengambil alih syarikat Jetson Corporation Sdn Bhd yang turut memiliki 21 peratus pegangan saham di dalam Alam Flora Sdn Bhd.


Pengarang :