SELANGOR

KDEBWM proaktif pastikan Selangor bersih

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyumbangkan 94 tong sampah jenis ‘leach bin’ dan 30 jenis ‘chute bin’ bernilai RM150,000 sebagai tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengurus Besarnya, Ramli Tahir berkata, usaha berterusan itu bagi merealisasikan aspirasi Smart Selangor kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan penduduk untuk diedarkan ke kawasan yang dikenalpasti.

“KDEBWM merasakan ia merupakan tanggungjawab bersama dan perlu membelanjakan sedikit aset untuk kemudahan penduduk.

“Apabila KDEBWM mengambil alih pengurusan sampah, kita mendapati banyak aset-aset sedia ada tidak boleh diguna pakai.

“Oleh itu, kita perlu menukar kepada yang lebih baik,” katanya kepada SelangorKini selepas program Gotong Royong Perdana KDEBWM di Padang AU2, di sini.

Dalam program itu, Ramli berkata program terbabit merupakan julung kali diadakan dengan menjemput Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Program gotong royong sentiasa diadakan bersama penduduk sebagai komitmen berterusan menjadikan Selangor kekal memiliki persekitaran bersih.

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, KDEBWM turut menyediakan pelbagai peralatan kebersihan dan kemudahan untuk kegunaan peserta sepanjang gotong royong diadakan.

“Kita juga menyediakan jentera lori armroll dan pekerja untuk proses kutipan sampah dan jentera High Pressure Tanker akan digunakan bagi pembersihan longkang sekitar AU2,” katanya.

Pada masa sama, KDEBWM turut mengadakan demonstrasi penggunaan jentera road sweeper baru yang dilengkapi dengan pemantauan kenderaan vehicle monitoring system bagi memudahkan pergerakan jentera dari satu kawasan ke kawasan kerja yang lain.


Pengarang :