GLOBAL

Kebakaran di Australia semakin marak

SYDNEY 18 MAC: Penduduk di negeri Victoria terpaksa berlindung di stadium bola keranjang dan pusat komuniti hari ini apabila ia dilanda kebakaran ketika cuaca kering, panas dan berangin bergerak ke seluruh tenggara Australia.

Kebakaran itu bermula petang semalam dan tidak dapat dikawal di barat daya Victoria dengan amaran kecemasan dikeluarkan kepada semua lebih 45 bandar menjelang jam 11.30 pagi ini waktu tempatan, menurut laman web kecemasan kerajaan Victoria.

Cuaca dijangka berterusan membawa kebakaran ke tahap lebih bahaya sehingga tengah hari ini, kata jurucakap Pusat Kawalan Negeri.

“Empat hartanah terjejas setakat ini tetapi bilangan mungkin berubah,” katanya.

Beberapa jalan raya ditutup dengan penduduk diminta berlindung di tempat mereka berada kerana terlalu bahaya jika terperangkap dalam kebakaran di kawasan terbuka, atau menggunakan jalan raya dalam asap tebal.

Enam pusat kebajikan dibuka setakat ini termasuk Stadium Bola Keranjang Ark dan Pusat Persembahan Seni di Hamilton.

Biro Ramalan Cuaca memberi amaran kebakaran lebih teruk hari ini di barat daya dan tengah negeri paling ramai penduduk di Australia, dengan suhu 25 darjah Celsius selain angin kering dan kencang menyebabkan cuaca yang menyemarakkan api.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :