OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 1 MAC: Kejohanan Bola Jaring Terbuka Wanita Piala Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 2018, pada 24 Februari lalu berjaya menghimpunkan 32 pasukan keseluruhannya.
Penganjuran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor itu turut menyaksikan pembabitan Penggerak Belia Tempatan (PeBT), pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah sekitar daerah berkenaan.
Setiausaha MDKS, Azman Dahlan berkata, kejohanan itu dianjurkan setelah melihat kejayaan penganjuran sama, pada 2015.
“Pertandingan itu medan mencungkil bakat baru supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Ia juga saluran menggilap bakat baru dalam kalangan belia untuk menjadi pelapis sukan bola jaring,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Azman berkata, MDKS turut membuka peluang kepada peserta bersaing bersama pasukan pemain kebangsaan.
“Ia secara tidak langsung meningkatkan tahap permainan mereka,” katanya.
Dalam kejohanan itu, pasukan KLIA 2 Fighters dinobatkan sebagai juara, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,018 berserta sijil dan medal.