SELANGOR

Keluarga penjawat awam terima insurans

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 MAC: “Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa mereka.”

Itu luahan ibu kepada Allahyarham Nor Hazyanti Md Isa yang meninggal ekoran kanser payudara, pada 4 Februari lalu kepada Kerajaan Negeri yang menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga.

Sinor Haron, 64, ibu Allahyarham berkata demikian selepas menerima kunjungan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Keluarga dan Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Katanya, keprihatinan Kerajaan Negeri yang tampil menghulurkan bantuan ketika mereka sekeluarga diuji dengan kematian anaknya amat bererti.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil berat bukan sahaja kepada penjawat awamnya tetapi rakyat seluruhnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Allahyarham adalah kakitangan di Pejabat Tanah dan Galian sejak 10 tahun lalu dan mula menghidap kanser sejak 2014.

Allahyarham meninggalkan tiga anak berusia 15, 11 dan tujuh tahun.

Sementara itu, Dr Daroyah berkata, Kerajaan Negeri memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga Allahyarham menerusi Skim Peduli Sihat Penjawat Awam.

“Allahyarham adalah penerima pertama skim insurans ini. Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarganya dan berharap bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.

Skim Peduli Sihat Penjawat Awam Selangor bakal membantu lebih 10,000 penerima mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjamin perlindungan kepada lebih 10,000 penjawat awam Gred 44 dan ke bawah, terdiri daripada pembantu tadbir, pekerja rendah awam, anggota penguatkuasa, pengawal keselamatan dan pemandu.

Melalui skim takaful kesihatan itu, setiap penjawat awam akan menerima manfaat had rawatan kesihatan RM10,000 setahun bagi menampung kos ‘hospitalization’ selain daripada skop perlindungan meliputi manfaat kematian dan hilang upaya kekal.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 3 juta bagi membiayai Skim PSPA yang bakal memberi manfaat kepada 10,000 Penjawat Awam Kerajaan Negeri Selangor.


Pengarang :