ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Keluasan Hutan Simpan Kekal meningkat kepada 33 peratus

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 MAC: Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor mencatatkan peningkatan kepada 33 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata jumlah itu melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini apabila sejak 2009, Kerajaan Negeri melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya ketika menyorot kejayaan portfolionya yang bertajuk ‘Membina Masyarakat Madani dan Membina Alam, di Karnival Himpunan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, Elizabeth berkata Permatang Kuarza di Gombak juga bakal mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya, aset geologi dimiliki kuarza itu mempunyai nilai tinggi dan boleh ditarafkan sebagai warisan rantau, melebihi taraf warisan kebangsaan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mahu Permatang Kuarza itu bukan sahaja diiktiraf sebagai tapak warisan kebangsaan, tetapi menjadi tapak warisan dunia dalam kategori warisan semula jadi.

Ia berikutan kawasan ini adalah tembok batuan semulajadi luar biasa di pinggir Banjaran Titiwangsa yang membentuk permatang terpanjang di dunia iaitu 14 kilometer (km) dengan kelebaran 50 meter.

Kawasan itu juga memiliki 265 spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadikan kuarza sebagai habitat mereka.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut meluluskan 414.531 ekar keluasan tanah Kampung Orang Asal yang diwartakan sebagai kawasan atau rizab Orang Asal sejak 2008.

Bagi Hulu Selangor iaitu Kampung Orang Asli Sungai Jang Kerling dengan keluasan 4.18 yang diwartakan 24 Oktober 2013.

Manakala bagi daerah Kuala Langat, Taman Desa, Kemandol dengan keluasan 86.79 ekar dan Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey pada keluasan 329.6 peratus pada 26 Oktober 2017 lalu.

Bagi daerah Sepang iaitu Kampung Orang Asli Bakok yang berkeluasan 9.044 dan daerah Klang, Tanjung Harapan Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang iaitu keluasan 3.00 ekar.

=EZY=

 


Pengarang :