SELANGOR

Kemelut air selesai lebih awal, bukti Selangor peduli rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 10 MAC: Kejayaan Kerajaan Selangor menyelesaikan kemelut bekalan air bersih dalam tempoh kurang 48 jam, membuktikan komitmen pentadbiran negeri memastikan kebajikan rakyat terjamin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kepedulian itu diselangi atas rasa tanggungjawab dan komitmen Air Selangor yang bertungkus-lumus menyelesaikan kemelut itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pegawai (Air Selangor) yang memberikan khidmat cemerlang walaupun jadual asal mengambil masa lebih lama.

“Namun, atas arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membebankan pengguna, mereka menyiapkan kerja dalam masa lebih pendek,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Masjid Darul Ehsan di Taman Tar, Ampang petang ini.

Berdasarkan jangkaan awal, bekalan air bersih akan mula disalurkan kepada rakyat bermula 11 Mac (Ahad), selepas kerja-kerja pembaikan mula dibuat, 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) sebelum ini memaklumkan, kerja-kerja pembaikan selama 48 jam diteruskan tanpa henti, sehingga proses kerja-kerja gantian paip siap sepenuhnya, lewat malam tadi.

Sementara itu, beberapa kawasan terjejas di Lembah Klang mula menerima bekalan air bersih sejak malam tadi, selepas operasi loji rawatan mula diaktifkan.


Pengarang :