SELANGOR

Kepelbagaian kaum aset capai bangsa bermaruah dan berdaulat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MAC: Perbezaan kaum terdapat di negeri ini adalah aset sesebuah negara bagi mencapai sebuah bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hanya dengan perpaduan dan penyatuan semua kaum membolehkan Selangor terus maju dan makmur pada masa akan datang.

“Saya percaya kepelbagaian kaum di negeri ini dapat membingkai muafakat untuk membangunkan Selangor,” katanya di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini.

Mohamed Azmin turut memberi jaminan bahawa kedudukan semua kaum di negeri ini adalah terjamin dan terjaga di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Saya mahu orang Melayu rasa selamat dalam Selangor, orang India dan Cina juga terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri

“Hak semua kaum adalah seimbang dan tidak pernah dipinggirkan di bawah pentadbiran saya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, politik bukan membabitkan soal kuasa sahaja sebaliknya bagaimana kuasa politik itu boleh digunakan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bagi menjamin tata kelola dan adil kepada semua.

“Saya bangga dapat membimbing negeri ini dengan aman dan sebagai sebuah keluarga yang besar.

“Pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat diperkenalkan. Kekayaan negeri bukan milik pemimpin atau parti politik tetapi perlu dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :