SELANGOR

Kerajaan Negeri berjaya wujud peluang kerja berkemahiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Kejayaan Selangor menarik pelaburan RM5.59 bilion dengan 202 projek bagi sektor perkilangan, tahun lalu berjaya mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran untuk rakyat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan ekonomi Selangor yang terus mampan sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Bagi tempoh 2017, Selangor berjaya menarik pelaburan modal RM5.59 bilion dengan 202 projek perkilangan.

“Kejayaan ini mencipta nilai dalam ekonomi termasuk menghasilkan pekerjaan berteknologi dan berkemahiran untuk rakyat Beta,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-13, di Dewan Annex, di sini.

Baginda bertitah, Selangor turut mendahului aspek tata kelola pentadbiran yang menjana keyakinan rakyat dan masyarakat global.

Titah baginda, prinsip ‘accountability’ dan ‘good governance’ adalah asas penting mengekalkan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan.

“Beta turut berkenan dengan langkah pembaharuan yang dilaksanakan seperti menjamin sistem ‘check and balance’ dan memartabatkan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan,” titah baginda.

Terdahulu, pertumbuhan ekonomi Selangor menyumbang 22.7 peratus kepada ekonomi Malaysia, pada 2016 iaitu peningkatan daripada tahun sebelumnya.


Pengarang :