SELANGOR

Kerajaan Negeri gesa SPAN pantau kerja selenggara SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Kerajaan Negeri mengesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk terus memantau kerja penyelenggaraan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa ke atas syarikat konsesi terbabit.

“SPAN mempunyai garis panduan dan jadual penyelenggaraan. Ia diluar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, kita akan meminta SPAN sentiasa memantau dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Mohamed Azmin turut memaklumkan kerja pembaikian dan penyelenggaraan itu siap dilaksanakan.

Katanya, sebanyak 70 peratus kawasan juga sudah mula mendapat bekalan air bermula tengah malam tadi.

Terdahulu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) sudah mula beroperasi dengan purata kapasiti 830 juta liter sehari (JLH), lewat petang semalam.

Bekalan air yang terputus sejak Selasa lalu, menyebabkan 427 kawasan mengalami gangguan kini pulih secara berperingkat bergantung kepada geografi dan altitud premis pelanggan.


Pengarang :