SELANGOR

Kerajaan Negeri laksana tindakan jaga kepentingan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 25 MAC: Kerajaan Negeri melaksanakan prinsip perjuangan melalui tindakan signifikan dizahirkan demi menjagakan kepentingan rakyat di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ia adalah pendekatan dijayakan Kerajaan Negeri apabila mendapat mandat rakyat sejak 2008.

“Ia antara tekad dan azam Kerajaan Negeri dalam melaksanakan prinsip perjuangan melalui tindakan signifikan baik dalam menegakkan keadilan, pembelaan rakyat mahupun menangani dan memartabatkan umat serta bangsa.

“Pelaksanaanya tidak cukup sekadar slogan, ucapan dan janji manis tetapi apa kita lakukan adalah melalui tindakan sebegini,” katanya dalam Majlis Jamuan Hi-Tea Rakyat Bersama Dato’ Menteri Besar di Masjid Jamek Kampung Nakhoda di sini, semalam.

Melalui pendekatan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri berjaya mempertahankan hak rakyat dan orang Melayu.

Katanya, sebagai rekod, Kerajaan Negeri berjaya menggantikan lebih tanah dan rizab orang Melayu yang hilang sebelum ini di negeri itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu melaung kata keramat dan mengangkat keris setiap tahun apabila menyentuh ingin mempertahankan hak orang Melayu seperti mana terdapat di dalam perlembagaan,” kata Ahli Dewan Negeri Batu Caves itu.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussain dan Timbalan Nazir Masjid Kampung Nakhoda, Dato’ Seri Mohd Idris Kasim.

=EZY=


Pengarang :