SELANGOR

Kerajaan Negeri peruntuk RM18.6 juta naik taraf Jalan B23, Selayang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 26 MAC: RM18.6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi pembinaan projek naik taraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara Sungai Tua, Selayang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RM4 Juta berjaya dijimatkan berbanding sasaran kos awal RM23 Juta.

“Atas prinsip dipegang Kerajaan Negeri dan disokong Jabatan Kerja Raya untuk memastikan kerja-kerja perolehan dibuat menerusi tender terbuka, telus dan berintergriti, projek ini dapat menjimatkan wang rakyat sebanyak RM4.4 Juta.

“Ia menjadikan penurunan kos asal sebanyak RM23 juta kepada RM18.6 Juta dan inilah beza kita dengan pentadbiran lain.

“Kalau pentadbiran lain, kos asal RM23 Juta akhirnya menjadi RM50 juta, tetapi di Selangor, amalan ketelusan itu harus dipraktikan secara amanah dan iklhas untuk menjamin kestabilan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Traf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua, petang ini.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin berkata, projek berkenaan bakal menyelesaikan masalah kesesakan trafik di laluan utama Sungai Tua.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri menggalakan perkembangan modenisasi pengangkutan darat.

“Ia juga bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, kerana penduduk setempat memerlukan laluan alternatif yang lebih mudah dan selesa,” katanya.

Difahamkan, projek berkenaan mula dilaksanakan di peringkat Jabatan Kerja Raya dengan proses reka bentuknya disiapkan dalam tempoh 12 bulan, bermula November 2017 lalu.

Meliputi tiga fasa pembinaan, projek berkenaan bakal disiapkan sepenuhnya, pada 8 September 2020 ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin turun padang merasmikan projek pecah tanah pembangunan infrastruktur baru yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib dan Amiruddin Shari.


Pengarang :