SELANGOR

Kerajaan Negeri proaktif tangani kes Tibi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) proaktif dalam menangani penyakit berjangkit khususnya penyakit Tibi (Tuberculosis) atau batuk kering.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pihaknya merancang memperluaskan kempen kesedaran tentang bahaya penyakit di setiap daerah.

Katanya, JKNS sedang giat dalam aktiviti ‘case detection’ melalui ‘case finding and detection’ dan saringan di kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, buah pinggang, kontak rapat dan warga emas di pusat jagaan.

“Peningkatan kes di negeri ini adalah sejajar dengan usaha pihak JKNS untuk mengesan awal dan memberi rawatan segera.

“Kempen-kempen kesedaran akan diperluas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB).

“Pemimpin masyarakat ini akan diberi pengetahuan dan tanggungjawab untuk membantu pihak Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan pesakit itu mendapatkan rawatan secara berterusan agar tidak menjangkiti orang lain,” katanya menjawab pertanyaan Rodziah Ismail-Batu Tiga, semalam.

Dr Daroyah berkata Kerajaan Negeri juga akan menggalakkan semua klinik panel Skim Peduli Sihat untuk membuat ‘chest Xray’ yang boleh mengesan perubahan paru-paru akibat Tibi.

Untuk rekod daerah Petaling mencatatkan tertinggi iaitu sebanyak 1,541 kes, diikuti Hulu Langat (1,161) dan Gombak (743), Klang (734), Hulu Selangor (191), Kuala Langat (184), Sepang (156), Kuala Selangor (134) dan Sabak Bernam (72).

=EZY=


Pengarang :