NASIONAL

Kerajaan Persekutuan akui sukar banteras ‘judi halal’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kerajaan Persekutuan mengakui sukar menarik kembali lesen perjudian yang diluluskan, termasuk Genting Highlands.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat berkata, walaupun sukar, Kerajaan Persekutuan akan terus berusaha mengurangkannya, pada masa akan datang secara berperingkat.

“Memang umum ketahui lesen seperti Pusat Hiburan Keluarga (PSK) dan lesen perjudian seperti di Genting sudah diberi susah hendak patahkan, yang pasti kita bincang pada masa hadapan kerana jika mahu haramkan sepenuhnya agak sukar,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad yang bertanyakan adakah kerajaan yang menghalalkan lesen judi, di Malaysia bersedia untuk menariknya kembali secara menyeluruh.

Masir dalam jawapannya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat turut memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui polis sudah menyerbu 27,203 premis perjudian haram, di seluruh negara sejak 2017.

“Bagi tempoh 2017 dan 2018, 27,203 serbuan dibuat di seluruh negara dengan tangkapan 36,114 orang membabitkan pemain, penjaga premis dan penganjur aktiviti perjudian.

“Sebanyak 91,000 unit mesen perjudian serta wang tunai lebih RM1 juta dirampas, langkah membanteras aktiviti perjudian ini juga selaras arahan diambil Ketua Polis Negara baharu yang mengisytihar perang secara habis-habisan terhadap aktiviti perjudian haram,” katanya.

Mengulas lanjut, Masir berkata, modus operandi terbaharu digunakan pengajur perjudian adalah melalui dalam talian.

“Sindiket menggunakan modus operandi mencari pelanggan untuk promosi aktiviti perjudian melalui media, Facebook, WeChat dan sebagainya.

“PDRM juga menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Mulimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau aktiviti perjudian dalm talian dan sehingga kini 911 laman sesawang perjudian disekat,” katanya.


Pengarang :