NASIONAL

Kerajaan Persekutuan digesa kembali subsidi tangani kos sara hidup tinggi

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Kerajaan Persekutuan disaran mengembalikan subsidi bagi menangani isu kos sara hidup tinggi yang membebankan rakyat masa kini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pemberian subsidi adalah salah satu usaha dilihat mampu membantu bagi mengatasi masalah berkaitan.

“Apabila Kerajaan Persekutuan mengadakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (untuk mengatasi isu kos sara hidup) tetapi yang pentingnya kita lihat keperluan pemberian subsidi ini.

“Ini menunjukkan kos sara hidup memerlukan usaha sebegini kerana pemberian subsidi adalah usaha bagi meringankan bebanan hidup dengan pelaksanaannya menerusi pelbagai polisi,” katanya.

Beliau berkata kepada media mengulas titah ucapan perasmian sidang Dewan Rakyat oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, di sini, hari ini.

Presiden Pakatan Harapan itu turut meminta kerajaan Persekutuan membuat pertimbangan serius berhubung tindakan pihak berkuasa Indonesia menyita kapal mewah, Equanimity yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini kerana, katanya, peruntukan disalurkan melalui 1MDB adalah mengenai kepentingan rakyat di negara ini.

“Indonesia telah menyita kapal mewah itu dan kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius.

“Walau dikatakan bukan kapal kita tetapi isu utamanya wang dari 1MDB itu sepatutnya menjadi dana untuk keperluan rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :