SELANGOR

Kerja pembaikan paip siap ikut jadual

 

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerja pembaikan Sistem Mampatan Udara (Surge Supply System) di Loji Rawatan Air (LRA) SSP 3 Bukit Badong siap seperti dijadualkan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja pembaikan utama siap semalam seperti dijadualkan dan kini proses pemeriksaan peringkat akhir sedang dilaksanakan.

“Loji akan diuji dan beroperasi secara berperingkat.

“Pemulihan bekalan akan berjalan mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, Pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta bantuan operator-operator air dari negeri-negeri lain beterusan menghantar bantuan melalui lori tangki air kepada pengguna di kawasan terjejas selain daripada sembilan Pusat Khidmat Setempat yang beroperasi 24 jam sehari.

“Sehingga kini 16 lokasi pili awam telah diaktifkan di beberapa lokasi untuk kegunaan pengguna.

“Pengurusan Air Selangor juga berusaha mengambil segala langkah dan tindakan perlu bagi memberi bantuan dan mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.


Pengarang :