SELANGOR

Kerosakan akhlak remaja beri tanggapan negatif

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU LANGAT, 24 MAC: Masalah keruntuhan akhlak generasi milineal zaman siber terutama remaja Melayu Islam semakin meruncing sehingga menjadi penyakit yang menular di dalam masyarakat.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata keadaan ini mampu mengundang tanggapan negatif bangsa lain terhadap Agama Islam itu sendiri.

“Penyalahgunaan dadah, ketagihan arak, seks bebas, ponteng sekolah, vandalisme dan pelbagai lagi gejala mungkar kini menjadi perkara biasa kepada anak remaja bandar dan luar bandar.

“Sekiranya hal ini tidak dibendung oleh pihak berwajib secara serius maka tidak hairanlah suatu hari nanti, masyarakat kita akan hancur dan keruntuhan akhlak remaja Melayu Islam terutamanya akan rosak dan binasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Hulu Langat di Padang Awam Batu 14, di sini, malam tadi.

Jelasnya, kesan jangka pendek dan jangka panjang pastinya akan berlaku sekiranya semua lapisan anggota masyarakat tidak mengambil tindakan proaktif untuk menangani permasalahan kian meruncing ini.

Katanya, implikasi utama kepada negara sekiranya masalah sosial ini tidak ditangani segera akan menyebabkan negara kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan sehingga menyebabkan kerancakan pembangunan negara terbantut dan keadaan sosioekonomi negara dan negeri menjadi lembab dan suram.

Katanya lagi, institusi kekeluargaan merupakan aset utama dalam membentuk persekitaran kebahgiaan dan keharmonian sesuatu masyarakat.

Ahmad Yunus turut menyentuh satu kajian bebas yang mendapati peratusan membimbangkan apabila generasi milineal terlibat dengan gaya hidup gay, lesbian, biseksual dan transeksual (LGBT) di Malaysia.

“Apa yang menyedihkan lagi adalah hampir kesemua golongan ini ialah anak-anak Melayu yang beragama Islam,” katanya.

=EZY=


Pengarang :