SELANGOR

Kestabilan politik dan polisi mesra pelabur tingkat pelaburan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: Faktor kestabilan politik dan polisi pelabur yang konsisten berjaya menarik pelaburan sekaligus menyumbang kepada pertambahan jumlah pelaburan negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kejayaan Selangor menarik pelabur tahun lalu, membuktikan pelabur selesa dan yakin dengan dasar pentadbiran negeri untuk terus melabur serta membuat penambahan pelaburan.

Katanya, antara faktor lain termasuk kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris di kalangan pekerja tempatan, polisi pelaburan yang mesra pelabur, kemudahan infrastuktur, keselamatan dan persekitaran kediaman yang selesa serta kemudahan pembelajaran bagi anak Expatriate.

“Selaras dengan trend sektor perindustrian di peringkat global yang sedang beralih kepada Industri 4.0, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada lima sektor industri utama.

“Antaranya elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, sains hayat, makanan dan minuman, serta mesian dan peralatan.

“Daripada sektor industri utama itu, beberapa bidang tumpuan dikenalpasti berpotensi berkembang di negeri ini iaitu E-Commerce, Bio-Teknologi, Aero-Angkasa dan Industri Halal,” katanya.

Chang Khim berkata industri itu semakin berkembang dan mendapat tempat selari dengan arus perkembangan ekonomi dunia yang kini lebih menjurus kepada perniagaan e-dagang, sains dan teknologi bio serta aero angkasa.

Tahun lalu, Selangor menarik RM5.59 bilion pelaburan langsung dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan bernilai RM4 bilion, terutamanya dari peruncit perabot terbesar di dunia, IKEA, dengan penubuhan sebuah pusat rantaian bekalan di Pulau Indah, bernilai RM908 juta.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekaligus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629, diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

=EZY=


Pengarang :