SELANGOR

Komitmen KDEBWM urus sisa pepejal dipuji

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memuji usaha KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini.

Beliau berkata selepas pengambilalihan KDEBWM di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mencatatkan penurunan aduan lebih 90 peratus.

“Sejak mengambil alih di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), aduan mencatatkan penurunan sebanyak 97 peratus iaitu daripada 225 aduan kepada lima aduan diterima sebulan.

“Manakala, di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), KDEBWM menerima 1,300 aduan dan berjaya dikurangkan kepada 20 aduan sebulan, ketika ini.

“Dengan kejayaan ini, KDEBWM berjaya membuktikannya sebagai badan yang cukup cemerlang dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Selangor,” katanya di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Mohamed Azmin berkata penubuhan KDEBWM tepat pada masanya dalam usaha merealisasikan agenda ‘Smart State’.

“Kita tidak boleh berada ditakuk lama. Pimpinan perlu terima kemajuan untuk lebih bersaing dengan negeri dan negara lain.

“Atas usaha ini, Kerajaan Negeri menubuhkan KDEBWM yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja pembersihan dengan menggunakan modus operandi Smart Waste Management (SWM).

“Kini, terbukti penubuhan KDEBWM ini, Selangor lebih baru dari sebelumnya,” katanya.

KDEBWM dilantik sebagai Project Management Company (PMC) untuk mengorak langkah untuk penambahbaikan pengurusan sisa pepejal.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipilih sebagai pilot project dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

KDEBWM bukan syarikat baru. Pada 2008, KDEB mengambil alih syarikat Jetson Corporation Sdn Bhd yang turut memiliki 21 peratus pegangan saham di dalam Alam Flora Sdn Bhd.

Pada 2012, KDEBWM meningkatkan keupayaan kapasiti asetnya dengan membuat pembelian 50 kompaktor untuk disewakan kepada sub kontraktor di Selangor supaya kerja kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lebih baik.


Pengarang :