BERITA UTAMAKENYATAAN MEDIASELANGOR

KSU KeTTHA perlu profesional, bercakap benar mengenai air Selangor

Margin rizab simpanan air Selangor lebih 5%, akan meningkat kepada 11%

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang telah bermain politik dengan Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu.

Sebagai penjawat awam kanan, beliau bukan saja tidak profesional malah membentangkan fakta salah berhubung situasi air di Selangor.

Minggu lalu, Dr Zaini telah mengeluarkan beberapa kenyataan dan muat naik media sosial yang menyokong serangan ke atas air Selangor daripada UMNO/Barisan Nasional yang bermula beberapa hari sebelum pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Angka Palsu Daripada Kementerian

Dakwaan paling mengelirukan yang dibuat Dr Zaini ialah margin rizab simpanan air Selangor sebanyak 0%.

Beliau mengatakan dakwaan berkenaan berdasarkan kepada jadual Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2017. Bagaimanapun, gambar foto jadual itu yang dimuat naik dalam Twitter mempunyai keratan nota kaki.

Adakah beliau membaca nota kaki itu, atau beliau memilih untuk tidak mendedahkan kepada orang awam bahawa margin rizab simpanan air sebenar Selangor ialah 2.2% dan 4.4% untuk 2015 dan 2016, dan bukannya 0% seperti yang didakwa. (Salinan muka surat penuh dilampirkan dengan kenyataan ini; muka surat 21 MWIG 2017).

Kedah juga disenaraikan dengan simpanan 0% dalam MWIG 2017, tanpa nota kaki. Mengapa KeTTHA tidak membangkitkan hal Kedah? Mengapa hanya fokus emosi terhadap Selangor, yang mana UMNO/Barisan Nasional cuba berkempen menjelang pilihan raya umum?

Dalam sidang medianya hari Khamis, Dr Zaini menegaskan sekali lagi dakwaannya bahawa margin rizab simpanan air Selangor adalah 0%. Ianya sama ada kesilapan atau penipuan pada tahap tertinggi.

Menterinya sendiri, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Selasa lalu di Parlimen menyatakan bahawa margin rizab simpanan air Selangor adalah 3%, bukannya 0% mengikut Dr Zaini. Ianya boleh dilihat pada hansard rasmi Parlimen.

Adalah menteri dan KSU KeTTHA tidak bercakap sesama sendiri? Seorang kata kosong dan seorang lagi kata tiga. Mengapa mereka membentangkan angka berbeza?

Malangnya, masalah tidak berhenti di situ saja. Kedua-dua angka margin rizab simpanan air Selangor oleh menteri dan KSU adalah salah.

Lambakan Berita Palsu Dan Fakta Palsu Daripada UMNO/BN

Kebelakangan ini, Selangor menjadi mangsa angka yang salah daripada Barisan Nasional, bermula daripada Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Eric See-To, dan terbaru datang daripada kepemimpinan tertinggi KeTTHA.

Barisan Nasional bukan saja ketinggalan, statistik mereka juga tercicir.

Dr Zaini dan menterinya dialu-alukan untuk melawat kami di Shah Alam. Kami akan menghidangkan mereka teh baru dan juga statistik baru.

Keadaan Sebenar Situasi Air Di Selangor

Untuk maklumat, margin rizab simpanan air Selangor pada permulaan 2018 adalah 3.5%, bukan 0%.

Margin simpanan air pada Mac 2018 ialah 5.4%, bukan 0%. Ini adalah kerana Selangor membelanjakan RM177.5 juta bagi mewujudkan Loji Rawatan Air Semenyih 2 bulan lalu. Empangan juga 100% penuh di seluruh negeri. Inilah sebabnya bekalan air mencukupi tahun ini.

Menjelang hujung tahun 2018, margin rizab simpanan air dijangka sebanyak 9.6% dan ia akan meningkat kepada 11% pada 2019. Ianya 11%, bukan 0%. Mengapa ia meningkat sebegitu banyak?

Dengan siapnya Loji Rawatan Air Langat 2 pada Jun 2018 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang pada Januari 2019, margin rizab simpanan air Selangor akan meningkat kepada 11% pada 2019.

Rizab Air Selangor
Awal 2018: 3.5%
Mac 2018: 5.4%
Hujung 2018: 9.6%
Tahun 2019: 11%

Pakatan Akan Jaga Air Di Selangor

Adalah jelas, semua fakta daripada Kerajaan Pakatan Selangor adalah pelan pelaksanaan berpandangan jauh bagi mengubah bekalan air negeri selepas kegagalan penswastaan air selama berdekad oleh UMNO/Barisan Nasional. Sebagai penyedia bekalan air di negeri paling ramai penduduk dan negeri industri di Malaysia, Air Selangor berhadapan tugas sukar dalam industri air Malaysia.

Daripada bermain politik dengan air milik rakyat, KeTTHA sepatutnya menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor. Adalah tidak wajar penjawat awak kanan mengambil kedudukan partisan dalam tugas rasminya. Ia akan menjejaskan tanggungjawabnya untuk bertindak secara adil kepada semua negeri dalam Persekutuan.

YIN SHAO LOONG
Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor


Pengarang :