PENDIDIKANSELANGOR

KUIS terus jadi tumpuan pusat pengajian antarabangsa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terus menjadi tumpuan apabila menerima kunjungan delegasi pelajar Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Ekuitas,Bandung, Indonesia buat kali ketiga.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporat (Pembangunan & Pengantarabangsaan) KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, program pertukaran pelajar dan pensyarah itu diadakan selama 13 hari bermula 17 Februari hingga 1 Mac lalu melibatkan 19 pelajar dan lima pensyarah STIE daripada pelbagai bidang.

“Di pihak KUIS, Seramai 21 pelajar KUIS turut dilantik sebagai ‘buddy’ iaitu peneman yang bertanggungjawab mendampingi dan membantu pelajar dari STIE Ekuitas sepanjang berada di KUIS.

“Manakala lima pensyarah dari STIE turut dijemput memberikan kuliah berkaitan bidang pengkhususan kepada pelajar di KUIS,” katanya kepada SelangorKini.

Zulkifli berkata, program pertukaran pelajar dan pensyarah itu bakal memberi banyak manfaat apabila pengetahuan dan pengalaman di kedua negara dapat dikongsi bersama malah peserta juga saling bertukar budaya, adat resam, bahasa dan makanan.

“Pelajar dari STIE turut merasai suasana pembelajaran dan perkongsian ilmu yang berbeza apabila mereka perlu terlibat sama dalam menghadiri ke kuliah dan program mahasiswa yang berlangsung sepanjang tempoh mereka di KUIS.

“Lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Lembah Klang juga turut disertai mereka seperti ke kilang pembuatan coklat Beryl’s, Balai Seni Lukis Negara, Muzium Perdana Putrajaya, Manara Berkembar Petronas (KLCC), Pasar Seni dan banyak lagi.

Zulkifli berharap jalinan ukhwah yang tersedia terjalin itu akan terus dipererat bagi berkepentingan bersama.

Tambahnya lagi, lawatan balas ke STIE daripada 21 pelajar ‘buddy’ KUIS telah berjalan pada 19 Mac lalu hingga 30 April ini.

=EZY=


Pengarang :