SELANGOR

Lagi 10,000 pengundi Selangor failkan bantahan SPR

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama pengundi dan pihak berkepentingan di Selangor telah memfailkan dua lagi kes baru di mahkamah bagi mencabar proses persempadanan semula yang masih berlangsung.

Dua kes tersebut membabitkan permohonan Ivy Josiah bersama tiga lagi pemohon menentang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang difailkan pada 8 Mac 2018 iaitu sebelum SPR menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri.

Sementara itu permohonan Maria Chin Abdullah pula bersama 106 yang lain menentang SPR, Perdana Menteri Malaysia dan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang difailkan pada 20 Mac 2018 iaitu selepas SPR menyerahkan laporan akhir persempadanan kepada Perdana Menteri.

Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Shahrul Aman Mohd Saari, berkata setiap pemohon merupakan wakil kepada 100 lebih pengundi yang mengemukakan representasi bantahan kepada SPR semasa pameran Syor Kedua Persempadanan Semula Selangor pada 15 Januari 2018 hingga 14 Febuari 2018.

“Oleh itu kes ini dibawa bersama oleh 10,000 lebih pengundi di Selangor dari 11 kawasan pilihan raya Parlimen dan 17 kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, kes ini difailkan kerana SPR didakwa gagal mengadakan sesi siasatan tempatan untuk kumpulan dalam kes ini walaupun mereka telah menghantar representasi bantahan.

Katanya, keengganan dan kegagalan SPR mengadakan siasatan awam untuk kumpulan pengundi ini merupakan satu rekod terburuk dan terkini SPR.

“Mengapa mereka kini mahu menafikan hak asas 10,000 lebih pengundi untuk didengar di mana sesi siasatan awam merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :