SELANGOR

Lagi 435 ibu di Kota Damansara terima kad KISS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 30 MAC: Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) semakin mendapat sambutan hangat golongan ibu di Kota Damansara.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaludin, sehingga kini seramai 800 permohonan diluluskan dan sudah menerima kad KISS masing-masing.

“Setakat ini Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Kota Damansara menerima lebih 2,000 permohonan dan saya jangka jumlah ini akan terus bertambah.

“Program malam ini adalah penyerahan kad KISS fasa kedua melibatkan 435 penerima menjadikan jumlah penerima setakat ini seramai lebih 800 orang,” katanya kepada SelangorKini pada Program Penyerahan Kad KISS Fasa Kedua di perkarangan PKM Kota Damansara, pada 28 Mac lalu.

Jelasnya, permohonan kad KISS terus dibuka kepada orang ramai selagi tiada sebarang pengumuman daripada Kerajaan Negeri.

Katanya, selain memproses permohonan mengikut syarat ditetapkan, PKM Kota Damansara juga membantu pemohon melengkapkan dokumen masing-masing.

Katanya lagi, beliau juga kerap ditemui penerima skim ini yang menyatakan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap kesusahan rakyat.

“Skim ini membuka mata para ibu terhadap kepedulian Kerajaan Pakatan Harapan membela nasib ibu.

“Reaksi mereka jelas memberikan sokongan kepada kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.


Pengarang :