BERITA UTAMANASIONAL

Lagi soalan 1MDB ditolak kecewakan ahli parlimen

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meluahkan perasaan kecewa apabila soalan beliau meminta penjelasan tindakan mengklasfikasikan laporan Ketua Audit Negara terhadap syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai rahsia ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan kepada beliau melalui sepucuk surat daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

“Soalan saya berkenaan 1MDB ditolak oleh Setiausaha Dewan atas alasan ianya perkara rahsia, sedangkan satu dunia sudah bercakap dan mengutuk kes 1MDB ini.

“Saya tanya kenapa Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB dirahsiakan? Jawapan – sebab alasan ia rahsia ialah juga rahsia,” luahnya di status laman sosial facebook beliau.

Selain itu beliau turut memuatnaik foto surat terbabit.

Beliau menerima surat itu pada hari pertama persidangan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen selepas dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.

Sebelum ini soalan berkaitan isu sama turut beberapa kali dibangkitkan blok pembangkang namun ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan alasan sama.

=EZY=


Pengarang :