kredit: K! Online
NASIONAL

Land Rover terbabas, tujuh anggota polis cedera

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Tujuh anggota polis termasuk enam wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Land Rover yang dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi itu membabitkan anggota berusia 20-an hingga 30-an dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi menjalani kursus asas latihan.

“Kenderaan berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal menyebabkan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.

“Semua mereka mengalami kecederaan ringan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai pesakit luar,” katanya memetik laporan BERNAMA, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.35 pagi dan ambulans diarahkan ke lokasi kejadian.

“Anggota APM kemudian membawa semua mangsa ke HKL untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Pengarang :