SELANGOR

Langkah LKPIM martabat wanita, selaras usaha Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 25 MAC: Kerajaan Negeri mendukung usaha Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) bagi memberdaya dan mengangkat martabat wanita di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan diambil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri bagi memajukan negeri itu dan peduli rakyat.

“Ia adalah dasar Kerajaan Negeri yang prihatin kerana kita tidak mahu Selangor hanya menjadi negeri maju dalam sektor ekonomi dan kewangan sahaja tetapi juga membangunkannya sebagai ‘Compassionate State’ iaitu negeri penyayang.

“Kita menunjukkan rasa kasih dan peduli kepada rakyat yang banyak berkorban untuk membangunkan negeri ini,” katanya dalam majlis perasmian bangunan LKPIM cawangan Nakhoda di Kampung Nakhoda di sini, semalam.

Beliau berkata, kemajuan dicapai Selangor tidak bermakna sekiranya ia tidak dikongsi kembali kepada rakyat dan Kerajaan Negeri melakukannya menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, Kerajaan Negeri mencapai kemajuan ekonomi memberangsangkan dengan rizab simpanan kira-kira RM4 bilion dan menyalurkan hampir RM3 bilion melalui pelbagai program di bawah IPR demi kebajikan rakyat di negeri itu.

“Kerajaan Negeri menzahirkan rasa hormat kepada pimpinan dan warga LKPIM yang ditubuhkan pada 1988 secara tuntas memberdaya golongan wanita dan mengangkat martabat serta membentuk jati diri keluarga muslim yang unggul di kampung ini.

“LKPIM telah bergerak proaktif dan memainkan peranan signifikan ke arah memperkukuhkan ukhwah di kalangan umat Islam,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussain; Timbalan Nazir Masjid Kampung Nakhoda, Dato’ Seri Mohd Idris Kasim dan Pengerusi LKPIM cawangan Nakhoda, Kasmah Bakar.

=EZY=


Pengarang :