NASIONAL

Langkah Pakatan tangani kemiskinan warga kota

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Kegagalan Kerajaan Persekutuan menangani isu kemiskinan bandar boleh diatasi menerusi pelaksanaan manifesto Pakatan yang memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmah berkata, isu kadar kemiskinan akan ditangani dengan komprehensif dengan melaksanakan janji meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata, pendekatan itu diselaraskan menerusi inisiatif menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dengan semakan kadar setiap 2 tahun.

“Pada masa yang sama, dengan yuran pendidikan percuma, ia akan membantu rakyat untuk memperoleh ijazah tanpa dibebani hutang.

“Bagi peminjam PTPTN sedia ada, pembayaran semula hanya akan bermula apabila gaji mencapai RM4,000 sekaligus meningkatkan kuasa beli graduan bergaji rendah.

“Sudah sedia maklum bahawa pada masa ini, rakyat terus dibebani oleh kos sara hidup yang tinggi dan hutang yang banyak, dan setiap janji di atas akan meringankan beban ini dan menggalakkan mobiliti sosial yang positif bagi setiap rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, Pakatan turut menetapkan pelaksanaan dasar berkebajikan yang terus memberi manfaat kepada masyarakat berpendapatan rendah.

“Sebelum ini antara 1960an-1990an pendidikan menjadi sumber mobiliti sosial, yang membolehkan rakyat miskin termasuk dari luar bandar menjadi kelas menengah, namun situasi ini tidak berlaku pada hari ini.

“Inilah sebabnya Pakatan Harapan menetapkan beberapa teras dasar yang bertujuan mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.

=EZY=


Pengarang :