NASIONAL

Laporan kemiskinan kanak-kanak UNICEF wajar dibahaskan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia diminta mempertimbangkan semula penolakan usul dikemukakan berhubung perbahasan mengenai kemiskinan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, laporan dikemukakan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diberikan perhatian dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Statistik laporan menunjukkan isyarat membimbangkan selain isu yang dibangkitkan mengenai kanak-kanak yang tidak mempunyai akses pendidikan asas disebabkan ibu bapa tidak mampu.

“Isu ibu bapa tidak mampu menyewa akibat kemiskinan relatif dan mutlak, kekurangan ruang dalam pangsapuri kos rendah dan penyelenggaraan kurang baik antara yang ditekankan,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Lobi Pusat Media Parlimen beliau berkata penolakan dibuat atas alasan ia tidak perlu dibahaskan segera di Dewan Rakyat.

Laporan UNICEF dikeluarkan minggu lalu menemui kadar kemiskinan dan kurang zat makanan yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak tinggal di kawasan pangsapuri rendah di Kuala Lumpur berbanding kadar purata negara.

Katanya, Parlimen perlu mewujudkan Akta Kemiskinan Anak di bawah Suruhanjaya Kemiskinan Anak yang boleh menjadi penasihat utama kepada Kerajaan Persekutuan.

“Suruhanjaya perlu melihat punca kemiskinan kanak-kanak termasuk peluang ekonomi untuk keluarga menjana pendapatan mencukupi serta menambah aset yang membolehkan mereka keluar dari kemiskinan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :