NASIONAL

Laung kekerasan bukti TN50 satu ‘pembohongan’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang ‘menghasut’ penyokong Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan terhadap Pembangkang membuktikan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan satu ‘pembohongan’.

Beliau berkata, ucapan Mohamad dalam satu program BN bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu klip video yang tersebar baru-baru ini serius dan merupakan satu hasutan ‘untuk menggunakan kekerasan’.

“Apabila melihat perkembangan politik negara kita ini, saya melihat sesuatu yang bertentangan dengan hasrat TN50.

“Ini menunjukkan TN50 ini tidak lebih daripada pembohongan kepada masyarakat dan rakyat.

“Dan ini satu perbuatan menghasut rakyat melanggar undang-undang dan sepatutnya polis menyiasat dan menghalang Umno-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S Devamany.

Menurutnya, tiada siapa yang menolak hasrat untuk Malaysia membentuk satu budaya berintegriti dan bernilai tinggi dalam TN50.

Kenyataan Mahfuz itu menimbulkan rasa tidak senang beberapa Ahli Parlimen BN dan mengejek beliau kerana berpindah parti baru-baru ini.

Semalam, akhbar The Sun melaporkan Mohamad sebagai berkata, ucapannya semasa Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno Rembau dalam satu video baru-baru ini diambil tidak mengikut konteks dan hanya untuk menaikkan semangat anak-anak muda.

=EZY=


Pengarang :