BERITA UTAMASELANGOR

Lebih 6,000 meriahkan larian MWM 2018, penyertaan meningkat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 MAC: Lebih 6,000 peserta menyertai acara larian Malaysia Women Marathon (MWM) 2018 yang berlangsung di perkarangan Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, beliau teruja apabila penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan 10 peratus daripada peserta antarabangsa membabitkan 18 negara antaranya Kenya, Jepun, Kanada dan Perancis.

“Secara keseluruhannya MWM 2018 edisi keenam kali ini mendapat sambutan amat menggalakan apabila terdapatnya peningkatan peserta berbanding tahun sebelum.

“Saya rasa ini satu perkembangan yang amat membanggakan dan berharap ia akan dijadikan sebagai acara pelancongan antarabangsa tahunan dalam kalendar Tourism Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara flag off MWM 2018 yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari; Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Sementara itu, Daroyah berkata, selaras dengan sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun, MWM 2018 amat bagus dilaksanakan Tourism Selangor kerana ia dapat mengangkat pemberdayaan bukan sahaja wanita di negeri ini malah di seluruh dunia khususnya.

“Kita dapat lihat peserta terlibat datang dari pelbagai negara, berbeza kaum dan agama jadi daripada situ wujudnya persaudaraan tanpa mengira latar belakang yang berbeza.

“Saya berasa bangga apabila wanita pada hari ini ramai yang mula menitik beratkan penjagaan kesihatan dengan menyertai pelbagai aktiviti melibatkan fizikal dan kesukanan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :