SUKANKINI

‘Lembah Klang Derby’ KL-SEL bakal gamatkan suku akhir Piala FA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Juara lima kali, Selangor diundi bertemu Kuala Lumpur pada peringkat suku akhir Shopee Piala FA Malaysia 2018.

Pertembungan ‘Lembah Klang Derby’ ini pastinya dinantikan peminat selepas kedua-dua pasukan baru sahaja bertemu dalam perlawanan Unifi Liga Super Malaysia pada 4 Februari lalu dengan keputusan 0-2 memihak Selangor hasil dua jaringan Rufino Segovia del Burgo.

Satu lagi pasukan dari Lembah Klang, PKNS FC pula diundi bertemu juara dua kali, Perak di Stadium Shah Alam. The Red Ants sebelum ini berjaya mengejutkan The Bos Gaurus dalam perlawanan Unifi Liga Super Malaysia di Stdium TLDM Lumut dengan kemenangan 0-2.

Pendahulu Unifi Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur bagi perhitungan dengan naib juara musim lalu, Pahang.

Pahang yang berjaya melunaskan dendam terhadap Kedah pada pusingan ketiga lalu pastinya enggan memberikan kelebihan selesa dalam perlawanan pertama di laman sendiri.

Dalam satu lagi aksi PKNP FC bakal berhadapan tugas berat apabila bertemu pendahulu 100Plus Liga Premier Malaysia, Felda United FC.

Felda United setakat ini belum mencatatkan sebarang kekalahan termasuk rekod kemenangan bersih lima perlawanan dalam aksi liga.

Majlis undian itu menampilkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Ahli Lembaga Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho.

Suku akhir pertama bakal berlangsung pada 6,7 dan 8 April sementara perlawanan timbal balik dijadualkan pada 20,21 dan 22 April.

=EZY=


Pengarang :