SELANGOR

LRA Semenyih 2 siap, sedia bekal 100 JHL air terawat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 telah siap dibina dan mula beroperasi pada 1 Mac lalu dengan peruntukan sebanyak RM187.5 juta.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, kos perbelanjaan pembinaan loji dan lain-lain fasiliti dianggarkan berjumlah RM155.5 juta.

“Bagi kos perbelanjaan kerja-kerja pembaikan Kolam Desa Putra berjumlah RM7.2 juta dan Caj Sambungan TNB (RM10 juta).

“Manakala bayaran pampasan pengambilalihan tanah dan caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM9.8 juta.

“Berdasarkan semakan awal dan perbincangan bersama pihak kontraktor, terdapat penjimatan dalam pelaksanaannya dimana jumlahnya akan di diperinci setelah projek tamat pada 31 Mac ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Sekinchan dan ADN Semenyih di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Zaidy berkata, loji itu berjaya mengeluarkan 100 JHL air terawat yang memenuhi parameter kualiti air ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ia akan membekalkan air terawat untuk diagihkan ke kawasan selatan Selangor termasuk Beranang, Semenyih dan sebahagian Hulu Langat.

“Air itu juga disalurkan ke Kolam Air Terminal Bangi. Secara tidak langsung penyaluran tambahan air terawat ini telah menstabilkan dan meningkatkan paras kolam itu,” katanya.

Sementara itu, bagi kemajuan pembangunan LRA Labohan Dagang bagi keseluruhan projek telah mencapai 35 peratus.

Zaidy berkata, buat masa ini pihak kontraktor dalam usaha menyiapkan kerja di tapak berdasarkan jadual yang ditetapkan dan dijangka siap pada Disember tahun ini.

“Dengan siapnya pembinaan LRA Semenyih 2 dan Labohan Dagang, ‘reversed margin’ di Selangor akan meningkat daripada 3 peratus kepada 9.8 peratus akhir tahun ini.

“Pertumbuhan pembangunan yang pesat dalam sektor perumahan dan industri di negeri ini memerlukan Kerajaan Negeri untuk sentiasa bersedia dan mengambil langkah proaktif dalam menyediakan sumber bekalan air mentah dan terawat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :