SELANGOR

LRA SSP 3: Kerajaan Negeri hanya pantau dan bantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap sebarang fasiliti di Loji Rawatan Air (LRA) SSP 3 yang dimiliki Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, Syarikat Air Selangor hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila mendapati pengeluaran air di loji terbabit jatuh sebelum memohon pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan siasatan.

“Fasiliti yang bermasalah ini adalah milik SPLASH bukan aset Kerajaan Negeri. Kita dalam proses mengambilalih SPLASH tetapi belum selesai.

“Kedua-dua pihak diberi tempoh hingga Julai ini untuk selesaikan pengambilalihan ini, jadi kalau bukan rumah kita, maka bukan aset kita dan bagaimana kita nak menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Bila kita melihat tahap pengeluaran air jatuh, Air Selangor mencari punca pengeluaran itu jatuh tetapi kita tak boleh masuk kerana ini adalah kemudahan SPLASH,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor dan Pahang di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri selepas itu mencadangkan supaya tindakan segera diambil bagi mengatasi kerosakan yang berlaku terhadap fasiliti milik SPLASH itu.

Bagaimanapun, katanya, SPAN mengeluarkan garis panduan bahawa kerja penyelenggaraan tidak boleh dijalankan seminggu sebelum dan selepas hari sesuatu perayaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan SPLASH terpaksa menunggu sehingga 6 Mac lalu untuk menjalankan kerja penyelenggaraan aset mereka dan berlakunya kejadian tidak diingini yang merosakkan lima batang paip Sistem Mampatan Udara (Surge Supply System) bersaiz 1,100 milimeter sehingga mencederakan lima pekerja.

“Jadi, ini bukan soal bekalan air tidak cukup tetapi soal kemalangan apabila SPLASH berjaya membaiki kerosakan pam dan berlaku letupan pam yang mencederakan lima pekerja membabit seorang pekerja Air Selangor dan empat lagi SPLASH sebaik mereka mahu mengoperasikan semula.

“Sekali lagi, kita tak boleh masuk untuk membaiki kerosakan ini dan sekali lagi kita mengambil sikap proaktif menghubungi SPAN. SPAN membenarkan Kerajaan Negeri dan Air Selangor membantu SPLASH.

“Sebenarnya juga Kerajaan Negeri yang mengesyorkan dua kontraktor berpengalaman untuk membantu SPLASH,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin enggan menyalahkan mana-mana pihak sehingga berlaku kejadian itu.


Pengarang :