SELANGOR

Lukisan ‘Ujang’ siap kurang dua minit kagumkan MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 MAC: Kepantasan menyiapkan lukisan karekter kartun popular, ‘Ujang’ bukan sahaja menarik perhatian ramai, malahan turut menerbitkan perasaan kagum Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Demontrasi melukis itu dibuat oleh pencipta watak itu sendiri, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon di hadapan Mohamed Azmin yang berkesempatan melawat gerai pameran Creative Enterprise di Pesta Buku Selangor 2018 yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin ketika menyaksikan lukisan itu disiapkan dilihat memberikan reaksi terkejut dengan kepantasan Ujang menghasilkan lukisan dalam tempoh kurang dua minit.

“Amboi, lajunya. Siap tak sampai dua minit,” kata Mohamed Azmin kepada orang ramai yang berada berdekatan beliau.

Karekter kanak-kanak bernama ‘Ujang’ merupakan satu watak kartun yang terkenal menerusi majalah humor, Gila-Gila.

Watak yang mula muncul sejak pertengahan 1980-an itu mempunyai beberapa versi seperti versi kanak-kanak, remaja di alam persekolahan dan selepas tamat persekolahan.

Watak ‘Ujang’ itu juga berjaya mengangkat nama Ujang sebagai salah seorang kartunis paling berpengaruh di Malaysia.

Sebelum itu sewaktu acara perasmian dipentas utama, Mohamed Azmin turut menerima cenderahati lukisan memaparkan karikatur beliau sendiri dengan berlatar belakang Masjid Negeri Selangor.

Pesta Buku Selangor Kali Ke-13 yang berlangsung pada 29 Mac hingga 8 April dengan bertemakan ‘Membaca Mencetus Kreativiti’ itu turut menghimpunkan pelbagai karekter kartun dan humor dan ditampilkan dalam satu perkampungan kartun daripada majalah terkenal 1980-an dan 1990-an seperti Ujang, Gila-Gila, Apo, Gempak dan lain-lain.

Selain Ujang, turut tampil dalam pesta buku itu, seorang lagi kartunis terkenal, Gayour yang popular dengan komik ‘Bersama Selamanya’ dan ‘Slash’.

=EZY=


Pengarang :