AGAMASELANGOR

LZS agih zakat lebih RM700 juta, santuni ummah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus komited dalam menyantuni ummah apabila berjaya menyempurnakan tanggungjawab menguruskan agihan zakat lebih RM700 juta tahun lalu.

Ketua Divisyen Pembangunann Asnaf, Zaharuddin Salim berkata, LZS bertanggungjawab dengan menyediakan kemudahan terbaik kepada umat Islam yang ingin menunaikan zakat di negeri ini.

“Setiap tahun LZS berusaha menyempurnakan amanah kepada lebih 278,000 pengeluar zakat dengan menyalurkan sejumlah RM124.5 juta bantuan zakat di bawah Program Pembangunan Asnaf.

“Kita mengutamakan pendidikan dan latihan kepada generasi kedua asnaf untuk mengubah diri dan kehidupan keluarga.

“Antara bantuan yang disalur setiap tahun ialah Bantuan Pendidikan Dalam dan Luar Negera, Dermasiswa Huffaz, Kursus Pembangunan Asnaf, Program Sekolah Angkat (PROSA) dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Agihana Pendidikan Pelajar Asnaf 2018 di Dewan Canselor, Management dan Science University (MSU), hari ini

Zaharuddin berkata, tahun lalu juga LZS menyalur bantuan pendidikan bagi 263 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah berjumlah RM7 juta.

Selain itu, katanya bagi Bantuan Wang Saku, LZS telah mengagihkan sejumlah RM15.2 juta kepada 6,000 pelajar asnaf di Selangor.

“Kesemua sumbangan dan bantuan ini adalah daripada penyalur zakat yang prihatin.

“Sekiranya pihak pengeluar zakat terus memberikan kepercayaan untuk menunaikan zakat dengan LZS, bantuan ini akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata LZS memerlukan sejumlah peruntukan untuk pengurusan rumah-rumah perlindungan asnaf di Bait Al-Mawaddah (warga emas), Bait Al-Hasanah (pelajar), Baitul Salam (mualaf) dan Baitul Hikmah serta Pusat Latihan Asnaf Zakat Selangor.

Peruntukan zakat juga disalur kepada beberapa rumah perlindungan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi asnaf Riqab.

=EZY=


Pengarang :