SELANGOR

LZS serah 10 van jenazah berjumlah RM1.2 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 9 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 10 van jenazah bernilai RM1.2 juta kepada masjid terpilih di negeri ini, hari ini.

Ketua Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan van jenazah berkenaan merupakan salah satu inisiatif bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah.

“Ia diperuntukan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.

“Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan van jenazah bertempat di Masjid Seri Aman, Puchong, di sini, hari ini.

Abdul Basith berkata, idea tercetusnya pemberian van jenazah kepada beberapa masjid bermula 2013, apabila tularnya satu berita mengenai sebuah van jenazah dalam keadaan sangat daif.

“LZS komited memberikan bantuan pembangunan institusi agama Islam di Selangor malah setakat ini sahaja kami sudah menyumbangkan 50 van jenazah dengan jumlah keseluruhan RM6 juta,”katanya.

Selain itu, Abdul Basith berkata, LZS mensasarkan 15 van jenazah akan diserahkan di beberapa masjid Selangor pada tahun ini.

Terdahulu, antara 10 masjid terpilih menerima bantuan van jenazah adalah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat; Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Hulu Langat; Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang; Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat dan Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Manakala, masjid lain termasuk Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor; Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor; Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.

Sementara itu, Nazir Masjid Kampung Kuala Perdik, Nahar Yakub berkata, beliau gembira LZS sudi memberi bantuan van jenazah memandangkan van sedia ada sudah mempunyai pelbagai masalah.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberi van jenazah dan kami akan berusaha menguar-uarkan perkara ini kepada penduduk setempat,” katanya.

Manakala Nazir Masjid Kariah Lubuk Kerubi, Zainun Daud berkata, dengan harapan semoga inisiatif LZS itu diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada LZS kerana sudi memberikan van jenazah malah ia sedikit sebanyak dapat membantu kerja pengurusan jenazah dan pengebumian dengan lebih cepat,” katanya.


Pengarang :